Saiyidina Umar Al-Khattab sedang berjalan di satu lorong di tepi kota Madinah. Sekumpulan kanak-kanak sedang bermain, di antaranya ialah Abdullah bin Zubair. Apabila melihat Saiyidina Umar, kanak-kanak itu bertempiaran lari, kecuali Abdullah. Apabila Saiyidina Umar tiba di tempat itu, beliau pun bertanya, "Mengapa engkau tidak lari seperti anak-anak lain?"
Abdullah bin Zubair yang masih budak itu menjawab secara spontan, "Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Mengapa saya mesti lari daripadamu? Jalan ini pun sesungguhnya tidak sempit sehingga saya terpaksa melapangkan ruang untuk Amirul Mukminin berjalan."
Satu ketika yang lain, iaitu semasa pemerintahan Bani Abasiyah Khalifah Al Makmum, khalifah ketika itu, memasuki kutubkhanah negara. Dia melihat ada seorang budak sedang membaca buku dan di celah cuping telinganya terselit sebatang pena.
Al Makmum bertanya, "Siapakah engkau ini?"
Budak itu menjawab, "Saya adalah tunas baru yang tumbuh dalam kerajaanmu yang sedang bersenang-lenang dengan keadilan pemerintahanmu dan saya bersedia untuk berkhidmat kepadamu. Nama saya Al Hasan bin Raja'."
Sewaktu awal pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, telah datang berbagai-bagai rombongan dari seluruh pelusuk negara untuk menyatakan taat setia kepadanya. Satu rombongan dari Hijjaz tiba, dan seorang kanak-kanak yang baru berusia 11 tahun tampil ke hadapan untuk bercakap.
Umar Abdul Aziz berkata, "Berundurlah engkau dahulu, biarlah orang yang lebih tua daripadamu bercakap."
Budak itu menjawab sopan dengan berani, "Semoga ALLAH kekalkan pemerintahan Amirul Mukminin! Sebenarnya manusia itu dinilai dengan dua yang paling kecil pada dirinya, iaitu hari dan lidahnya. Jika ALLAH mengurniakan padanya lidah yang petah, hati yang kuat ingatan, maka sudah tentulah dia yang berhak bercakap.
Wahai Amirul Mukminin, sekiranya semua perkara diukur dengan umur, nescaya di kalangan umat ini ada orang yang lebih berhak daripadamu untuk memegang jawatan khalifah."
Umar Ibnu Aziz sangat terharu dengan jawapan anak kecil itu. Demikianlah tiga contoh bagaimana tangkas, bijak dan beraninya anak-anak genius di zaman kegemilangan Islam.
Manusia genius mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat. Fikirannya mampu mengubah dunia. Nabi Muhammad, seorang genius, telah berjaya mengubah bangsa Arab menjadi satu bangsa yang gagah, berakhlak dan bertamaddun hanya dalam jangka masa 23 tahun sahaja. Tempoh itu sangat pendek, sehingga seorang professor di Universiti Vienna, Dr. Chevrel berkata, "Belum tentu Eropah dapat mencapai apa yang dibuat oleh Nabi Muhammad walaupun terpaksa mengambil masa selama 2,000 tahun."
Inilah kekuatan yang ada pada manusia genius. Dunia tidak dapat diubah oleh tenaga ribuan manusia, tetapi dapat diubah oleh fikiran seorang daripadanya.
COPY FROM : http://cahayamukmin.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment